Harapan memberi kesengsaraan makna, sebagaimana kematian memberi makna kepada kehidupan. Mungkin sebab itulah ramai “kaki wayang” sukakan genre thriller. Kerana ia membawa suatu macam pusaran arus tenaga yang seduktif. Suatu tenaga yang menakutkan sekaligus mengiurkan. Itu jugalah sebab saya tonton thriller  (selain kerana saya perlukan eskapisme dari filem-filem realisme sosial negara asing yang kadang pada saya memenatkan). Secara norma, kayu ukur kejayaan sesebuah filem thriller adalah sama ada ia berjaya membuat penonton duduk di hujung kerusi, sentiasa menanti-nanti dalam kegelisahan atau ia berjaya membuat penonton merasakan apa yang dirasa si protagonis. Tentu sekali itulah apa yang dimahukan oleh pembikin-pembikin thriller. Untuk itu, haruslah kita melihat filem thriller melepasi lapisan emosi semata-mata, kerana genre ini sebenarnya amat unik dan keunikannya tidak boleh ditelusuri dengan emosi semata-mata.

Thriller sebenarnya amat provokatif dan ianya bersifat meneroka (kedua filosofikal dan psikologikal). Selain mencabul emosi, filem bergenre ini meneroka ketakutan manusia menggunakan pelbagai macam elemen seperti kehilangan dan paranoia. Paranoia bersangkut rapat dengan keselamatan, dan keselamatan adalah antara isu utama yang biasanya dimain oleh sutradara filem genre ini. Contoh jelas adalah sebuah filem Jerman, Funny Games (1997) yang dibikin oleh Michael Haneke. Karyanya hadapi kontroversi yang besar kerana (seperti biasa) ia memaparkan keganasan yang melampau. Pun begitu, filem tersebut punya daya tarik yang tinggi kerana ia menyentap rasa.

Selepas menonton filem “Funny Games”, penonton akan merasakan seperti diri mereka dicabul (sila tonton bagi yang tidak percaya). Dan ini, pada saya, berlaku atas sebab beberapa faktor: ia memusnah harapan, ia merubah faham dan ia membawa suatu macam gejolak rasa yang asing dan radikal. Dalam filem ini, Haneke memilih protagonis yang sejak azali menjadi simbol kepada ketua, keselamatan, kekuatan dan keberanian dalam keluarga, yakni seorang ayah. Benar, di mata anak dan isteri, itulah adjektif yang sesuai ditampal pada rupa paras seorang ayah, tetapi dalam dunia kini ia tidaklah benar sepenuhnya. Kebenaran brutal yang ingin disampaikan oleh Haneke melalui filem ini ialah keselamatan dan kekuatan yang dijanjikan seorang ayah atau suami punya limitasi dan kebenaran yang mengharukan itu boleh didedah pada saat getir dalam kehidupan sebuah keluarga (seperti dalam filem ini: sebuah pencerobohan rumah).

Funny Games mengisahkan sebuah keluarga kecil yang diserang dua orang pemuda penuh halwa misterius dengan ganas. Serangan serakah itu memusnahkan imej bapa sebagai penyelamat dan seorang yang gagah. Ia membuktikan tanggapan itu terlalu banal dan serba-serbi kekurangan. Motif serangan itu tidak dirungkai atau dijelaskan Haneke hingga tamatnya filem tersebut. Ianya membingungkan dan pada masa yang sama mencabar limitasi penaakulan. Serangan yang dilakukan dua pemuda dalam filem Funny Games, memberi satu refleks emosi yang lazim, ia memberi efek sama apabila menonton karya Kubrick, Clockwork Orange (1971) dan filem Nocturnal Animals (2016) yang visualnya menyampaikan kepuasan euforik.

Persamaan yang ada pada ketiga-tiga filem yang dipetik ialah kesemuanya punya babak tegang yang melibatkan keluarga dan keganasan. Seperti penulis-penulis abad ke-19 yang suka bermain dengan garisan halus di antara perkara yang ordinary dengan monstrous, pada saya keluarga dan keganasan adalah elemen penting yang ada pada filem-filem thriller hebat abad ini. Ini kerana kedua perkara ini, dalam realiti, jauh dan tidak mungkin akan disekalikan. Ianya senario paling teruk, dan boleh menghantui imajinasi seseorang individu. Genre thriller sejak dulu, pada saya, lebih menarik dari horror yang secara massa menjadikan entiti-entiti paranormal sebagai modal. Corong pandang saya, filem horror masa kini lebih sesuai dicap sebagai filem “terkejut” atas sebab penggunaan berlebihan teknik “jump scare” yang efeknya pada penonton tidak tahan lama. Berlawanan dengan itu, filem thriller yang baik (tanpa segala apa hantu) boleh mengajar penonton serba sedikit tentang sisi gelap sifat semula jadi seseorang. Sedalam-dalam fikiran dan atma, kita semua tahu bahawa manusia lebih menakutkan dari hantu.