ditulis oleh: Eirsyad Qawiem

Ketika langit dicuci kuning benam Matahari yang keemasan dan dibelai melankoli awan petang yang setempat, atap genting blok asrama Yayasan Omar menitikkan sisa-sisa hujan yang bertakung pada lurah air bumbung. Tiga sosok kelihatan berkumpul di dalam pejabat Cikgu Shahnon: Ali, Fakrul dan warden Bo. Suatu macam halwa rengsa hadir di dalam bilik tersebut—yang kedengaran cuma kipas meja Panasonik Cikgu Shahnon, dan jemari kirinya mengetuk-ngetuk meja kerja sambil tangan kanannya memegang gagang telefon pejabat. Usai menunggu deringan tamat, Cikgu Shanon meletakkan gagang langsung memecah kesunyian bilik itu. “Kamu dah cuba call mak ayah kamu pakai telefon sendiri?” ujar Cikgu Shahnon kepada Ali. “Saya tak ada telefon.”. Cikgu Shahnon diam, sambil tatap wajah Ali, cuba mencerna jika anak enam belas tahun itu berjenaka tentang tidak mempunyai telefon. “…Mak ayah saya cadang nak kasi saya telefon untuk hari jadi saya tahun ni…” jawab Ali, dengan tona melankolik.

Baris ayat itu memberitahu Cikgu Shahnon bahwa Ali tidak berjenaka. “Okay, takpa…rasanya tak ada masalah, mungkin mak ayah kamu cuma terkandas dalam trafik. Maklumlah, pantai timur sekarang musim banjir…takpa, nanti warden Bo tolong telefon lagi ye?”. Warden Bo mengangguk. Kipas Panasonik tadi berayun kearah Fakrul, meniup rerambut ikalnya yang menutup kening. Fakrul menggigit kuku ibu jarinya, termenung, selang tiga kerusi dari Ali. “Ha Fakrul, mak ayah kamu pulak kenapa tak ambik kamu lagi?” Cikgu Shahnon mengalih corong tumpuan pada Fakrul. “Mak ayah saya datang hari Jumaat..”. “Kenapa pulak?” balas Cikgu Shahnon. “Sebab saya ingatkan pelajar dilepas balik hari Jumaat…” kata Fakrul dengan ekspresi tenang. Warden Bo yang berdiri sebelah pintu menepuk dahinya sendiri, “Kan dah bagi taklimat…tak dengar ke?” sampuk si warden. “Saya lost masa tu…”. “Engkau bila je tak lost” sindir warden Bo. Bilik itu kembali sunyi dilatari bunyi kipas Panasonik dan ketukan jari Cikgu Shahnon.

•••

Mentari kabur dan kejinggaan dilitupi asap jerebu. Taman di belakang blok dormnya perlahan-lahan menyerahkan hijau pada keremang-remangan sore hari Selasa. Kuning mentari pula meresap masuk ke dalam dorm dengan penuh majestik. Fakrul bersila di atas katil, menelaah sebiji kamera Kanen 550D yang lekat sebatang mikrofon pada bahagian atas kamera, kamera sama yang digunanya ketika masih bertatih dalam rakaman video. Cuma berbekalkan kameranya dan mikrofon, Fakrul gemar merayau sendiri di sekitar kota pada hujung minggu. Merakam gerak awam yang dilatar kresendo hentakan dan bunyi ngilu besi konstruksi tapak pembinaan, dalam ertikata lain manusia dan habitatnya. Pun begitu, dia tak pernah mengeluarkan kameranya dalam dorm, ini kerana tak mahu tangan-tangan serakah mencabul kamera tercinta.

Sudah lama tertanam dalam hatinya, niat untuk membikin sebuah filem pendek jujur, dengan pendekatan kepada awam ala-ala Godard. Ironinya, struktur wajah Fakrul seakan-akan Jean Pierre Belmondo, badboy filem legendaris Perancis. Di katil hujung dorm, Ali baring. Riaknya resah dan rengsa. Sebelahnya terentang sebuah novel, muka 154 dilipat dengan simetrikal. Dari jauh, kedengaran suara Fakrul bersenandung lagu kugiran Nirvana. Fakrul dihampiri Ali. “Bang…” tegur Ali. “Ha ada apa?..” “Nak pinjam telefon…boleh?” minta Ali dengan sopan. Fakrul meletakkan kameranya dan capai sebiji ePhone dari atas meja studi. Dihulurkannya kepada Ali namun momen itu janggal kerana Ali tidak punya telefon dan tidak tahu menggunakannya, apatah lagi ePhone.

•••

Dua batu selatan dari Hospital Jerantut di sebatang jalan kecil, kaca bertempiaran di muka jalan menjadikannya berkilau seolah dibasahi air bukit. Gema siren ambulans mebingitkan telinga, membawa suatu macam ketegangan dalam perasaan pejalan-pejalan kaki di kawasan itu. Seorang paramedik dengan kabut menyusul rakannya yang menyelam ke dalam kekecohan kemalangan dengan segala apa perkakas kecemasan. Orang ramai berkumpul, melihat babak mengharukan sekaligus menarik itu. Dua sosok ditarik keluar dari sebuah gumpalan besi terperonyok. Dua sosok itu tidak bernadi…seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua dianggarkan berusia dalam lingkungan 40-an, setibanya di Hospital Jerantut, mereka diidentifikasikan sebagai Mohd Rahmat bin Haji Taib dan Siti Asibah binti Mohd Nor.

•••

Asrama Yayasan Omar sepi dalam gelita malam Isnin. Tiada sebarang bunyi kenderaan, yang ada cuma orkestra cengkerik dan haiwan-haiwan nokturnal yang memeriahkan malam. Fakrul tak boleh terlelap, sesuatu ide tentang asrama yang tak berpenghuni itu membawa suatu pusaran arus yang menggangu perasaannya. Mungkin kerana dia terlalu banyak menonton filem Argento. Fakrul baring mengiring menghadap katil-katil kosong dalam dormnya. Usai beberapa kali menguap, kelihatan Warden Bo berjalan melintas koridor dorm ke arah katil hujung—katil Ali. Fakrul tidak bergerak, terlalu malas untuk bergerak dan terlalu ngantuk untuk menegur si warden. Warden Bo masuk ke dalam dorm, Fakrul cuma memerhati dari hujung dorm seberang sana. Cahaya lunar menyelit masuk ke dalam dorm melalui tetingkap, melukis garis-garis putih serong pada lantai. Buat seketika Fakrul terfikir betapa sinematiknya visual yang dihidangkan buat matanya itu—ala-ala filem noir tahun 50-an, fikirnya.

Warden Bo memandang kearah Fakrul namun dorm yang bercahaya kelam itu menyukarkan pandangan. Corong pandang Fakrul tidak dialihkan daripada warden Bo ketika beliau menghampiri Ali yang sedang nyenyak barangkali sesat dalam dimensi mimpi. Warden Bo mengejut Ali dari tidur, Ali bangun dan kelihatan mereka berbual. Dari jarak Fakrul, apa yang kedengaran cuma bisik-bisikan halus, yang punya berlainan nada. Ali bangun dari katil, dan berjalan ke luar dorm bersama warden Bo. Apa yang menghairankan, mereka berpimpin tangan. Melihat perbuatan itu, membuatkan suatu macam gejolak rasa yang memualkan sekaligus menggelegak adrenalin Fakrul yang berada di puncak kuriositi. Bayu malam meniup sayup muka Fakrul, melihat warden Bo dan Ali sudah meninggalkan dorm, dia membuat keputusan dan usul mereka. Blok dorm tersebut terletak pada atas sebuah bukit kecil, kawasan tertinggi dalam asrama Yayasan Omar. Bilik warden Bo boleh dilihat jelas dari pintu dorm Fakrul.

Pun begitu, Fakrul tidak mahu mengambil risiko yang terlalu tinggi, dia cuma mengintai gerak geri mereka melalui tingkap kecil dorm. Walau aneh, perbuatan itu memberi Fakrul suatu macam kepuasan skopofilik. Dari jarak jauh, Fakrul melihat warden Bo mempelawa Ali masuk ke dalam biliknya. Rumput pada laman hadapan bilik warden Bo kekuningan disuluh lampu pendaflour dari dalam biliknya. Apabila Ali masuk, warden Bo menyusul, pintu ditutup dan laman hadapan bilik kembali gelap. Kini tinggal Fakrul sendiri, kebingungan di dalam dorm, ditiup angin malam Isnin, dilatari orkestra cengkerik dan bunyian haiwan nokturnal.

•••

“Kau dari Felda mana?” tanya Fakrul kepada Ali. “Padang Piol” balas Ali. Mereka duduk di bangku padang bola. Awan redup melancarkan perbualan, tiada sebarang gangguan. Fakrul berpura tidak tahu tentang segala apa yang terjadi antara Ali dan warden Bo malam yang sebelum. Fakrul cuba memancing informasi, “Warden Bo mana eh? Dah la dorm dah kosong, patutnya dia teman kita…ni dia pun tah ke mana..”. Ali meriba bola padangnya, jenama Adibas, uzur dimakan tapak but bola. “Tak tahu la dia, entah dah balik agaknya. “jawab Ali. Masa yang sama, Fakrul cuba membaca ekspresi wajah Ali—tenang, seperti tiada apa yang berlaku antaranya dan warden Bo, menambah kebingungannya. Perbualan terputus sebentar, sepi, sambil Ali menggolek-golekkan bolanya. “Betul ke abang tersilap bagitahu mak ayah pasal tarikh pelajar boleh balik? “ cubaan pertama Ali untuk berbual dengan senior asramanya. Tak, jawab Fakrul.

Ternyata dia cuma teringin untuk merasakan suasana asrama Yayasan Omar ketika tak berpenghuni, dia punya niat untuk membuat sebuah video essay. Bagi menjelaskan kepada Ali apa itu video essay sahaja telah memakan masa setengah jam. Perbualan itu merubah faham, ia membawa Ali dan Fakrul menjadi lebih erat. Fakrul merentang kisah kedua mengapa dia masih tidak meninggalkan asrama—masalah keluarga. Pun begitu, harapan Fakrul tidak kesampaian, Ali masih tidak menceritakan apa-apa tentang kejadian semalam.

•••

Di Hospital Jerantut, keharuan kemalangan tadi mengejutkan staf-staf di hospital, mungkin kerana ia merupakan salah satu kemalangan yang paling ngeri dalam sejarah Jerantut. Di bilik mayat, forensik memulakan kerja. Abdomen Mohd Rahmat terburai dibelah besi kereta, ususnya yang berlemak membasahkan plastik tebal body bag hitam. Secebis tempurung parietal  dari kepalanya pecah menampakkan bahagian belakang otaknya yang pejal. Jumlah serpih kaca yang dijumpai dalam kerongkong Mohd Rahmat tidak terkira. Siti Asibah pula kehilangan bebola mata kanan, yang tinggal cuma soket mata kosong yang merah pijar dengan darah dan urat-urat putus, hidungnya koyak digesel tekstur jalan raya menampakkan tulang nasal hidung. “Empat puluh empat” ujar si forensik pada rakan sekerja. Empat puluh empat adalah jumlah tulang yang patah di dalam jasad Siti Asibah, termasuk rusuk kirinya yang telah menusuk tembus bronkiol paru-paru. Paru-paru Asibah berat dengan takungan darah pekat persis wain merah Carbenet Franc. Riak wajah kedua jasad persis belum bersedia untuk dijemput ajal. Setelah selesai autopsi, mereka dapati pasangan suami isteri itu berasal dari Felda Padang Piol.

•••

Malam menjelang tiba, masih sama cuma malam itu bunyi cengkerik kurang jelas, hanya angin kuat dan bunyi hujan lebat memenuhkan udara. Malam itu, Fakrul tiada masalah untuk melelapkan diri, namun dia memaksa dirinya untuk memacak mata. Seperti yang dijangka, bayang warden Bo, dengan sekaki payung kelihatan bergerak perlahan di koridor. Tapi kali ini dia berhenti di tingkap yang berdekatan dengan katil Fakrul. Fakrul dengan pantas memejamkan matanya berpura tidur. Warden Bo menjejakkan kakinya kedalam dorm dan hampiri katil Fakrul. Walau mata tertutup, Fakrul tahu tentang keberadaan warden Bo disebelah katilnya. “Fakrul….Fakrul..” panggil si warden. Fakrul mengawal pernafasan, masih berpura tidur. Bunyi tapak kaki warden Bo kedengaran semakin jauh dari katilnya, dia membuka sebelah mata. Warden Bo sudahpun berada di sebelah katil Ali di hujung dorm.

Apa yang berlaku seterusnya seakan-akan malam sebelum, déjà vu itu menghantui Fakrul. Malam itu Fakrul ekori mereka ke bilik warden. Gesaan untuk mengintai apakah yang dilakukan dua sosok itu merayap-rayap dalam fikiran dan hatinya. Namun, Fakrul percaya akan paradoks ignorant bliss, dan membuat keputusan untuk berpatah semula ke dorm sebelum dicekup mengintai mereka. Fakrul punya ide yang timbul perihal apa yang dilakukan Ali dengan si warden, pun begitu dia tidak menyukai idenya itu sendiri. Malam itu membuatnya rasa ingin pulang ke rumah dengan segera.

•••

            Dua jam berlalu, kini jarum menunjukkan pukul tiga empat puluh pagi. Fakrul segar tidak terlena, dan Ali masih tidak pulang ke dorm dari bilik warden Bo. Pundi Fakrul terasa penuh lalu dia ke tandas di hujung dorm, dalam perjalanan dia ke sana, setiap langkah terasa berbeban. Fikirannya melayang-layang memikirkan tentang perbuatan sumbang yang dilakukan Ali dengan si warden. Selesai Fakrul buang air, dia kembali ke dorm, dan saat itu kelihatan Ali sudah pun kembali ke katilnya. Fakrul berdiri di luar pintu dorm yang bersebelahan dengan katil Ali—pintu yang dimasuki warden Bo pada malam pertama. Hujan semakin reda, namun bunyi guruh masih hadir dengan halwa yang tidak menyenangkan. Kelihatan Ali sedang bersila di atas katilnya, dengan penuh selera menjamah sesuatu dari bekas plastik Tupperway-nya. Setapak demi setapak dia hampiri Ali dari belakang, dan semacam bau busuk menikam deria baunya. Fakrul mengawal pernafasan, “Malam-malam buta kau makan maggi ye Ali?” cuba berbual mesra, seolah dia tidak tahu akan aktiviti Ali dan warden Bo.

Bunyi kunyahan Ali terhenti, juga pergerakannya. Fakrul tersentak dengan reaksi Ali. Saat Ali pusing menghadapnya, Fakrul sedar, apa yang dijamah junior nya itu bukanlah mi segera, tetapi secarik usus dan isi mentah yang berlumuran darah. Mual tekak Fakrul membuatkannya sendawa, terasa muntah panas dihujung kerongkong. Ali mencampakkan bekas plastik itu ke lantai sekaligus bertindak agresif ingin menyerang Fakrul. Fakrul memukul kepala Ali yang kemudiannya terhantuk pada dinding. Kilat berdentum dentam di atas kepala, angin meniup dedaun pokok-pokok di dalam kompoun asrama memenuhi segala apa ikonografi filem seram.

Fakrul membuat keputusan untuk ke bilik warden, tergelincir di tangga dan bangkit semula terhincut. Dia membuka seliparnya dan teruskan larian. “Warden Bo!” pekiknya. Pintu bilik diketuk berkali namun tidak dibuka. Ternyata pintu tidak dikunci, hayunan pintu yang terbuka menghidangkan Fakrul dengan jasad warden Bo yang tidak berpakaian di atas lantai, merah pijar darah berkolam pada simen dan terpalit pada dinding dan siling. Wajah si warden kelihatan seperti dirobek dengan gigitan, segala organ dalamannya dikeluarkan dari tempat asal. Bersebelahan dengan visual itu, terdapat sebuah tikar mengkuang, di atasnya ada perkakas berkelah: cawan, jag air, teko, sudu, garfu, tisu serta pinggan yang punya semacam limpa di atasnya. Melihat kesemua itu, Fakrul tidak terkata. Saat itu Ali sudahpun berdiri terpacak dibelakangnya. Menghadap Ali, Fakrul muntah.

 

featured photoGEORGE SHIRAS, “THREE VIRGINIA DEER,” MICHIGAN, 1893-1898 C. NATIONAL GEOGRAPHIC CREATIVE ARCHIVES