Ianya sebuah norma alam bagi seseorang manusia untuk tidak menunjukkan apresiasi terhadap perkara yang mudah dimiliki. Contoh jelas persis buku teks sekolah: jika ia disubsidi kerajaan, murid akan tinggalkannya dibawah meja sekolah tanpa hirau. Kontradik dengan hal ini, jika ia dibeli dengan tenaga dan wang sendiri, maka mereka akan bersusah payah membawanya pulang walau beg sandang seberat dosa alam. Selari dengan hal ini, manusia tidak mengapresiasi mata. Kerana sejak awal keberadaan mereka, duduk-letaknya adalah pada muka. Melihat, seperti mendengar, menghidu dan segala macam rasa yang boleh diterima dengan deria, telah menjadi…kosong. Kekosongan dalam melihat bukan hadir kerana ketiadaan perkara untuk dilihat tetapi kerana terlalu banyak perkara untuk dilihat. Masalah disini ialah kebebasan. Kita terlalu bebas melihat sehinggakan kita tidak tahu memilih-beza. Terlalu bebas melihat hinggakan kita tidak dapat menerbitkan rasa apresiasi terhadap subjek yang dilihat. Ruang lingkup penglihatan teramat besar dan ketiadaan batas itu membawa kepada hilangnya fokus dan kekosongan emosi dikala melihat. Namun, keberadaan kamera di muka bumi ini telah merubah faham manusia tentang penglihatan. Kamera dan segala ilmu yang lekat padanya telah, secara tidak langsung, mengajar manusia etika dan cara untuk menggunakan mata.

Kamera, dengan literalnya, telah meletakkan corong pandang baru kepada manusia terhadap objek di sekelilingnya. Dengan meletakkan bingkai pada suatu latar, corong fokus disempitkan, dan bila ia disempitkan, dengan automatis segala nilai yang membuatkan sesuatu objek itu menuntut perhatian, akan timbul dan terhidang buat tatapan manusia. Inilah kehebatan kamera! Suatu ketika dahulu di zaman leluhur kita, kamera bukanlah sebuah perkara yang mudah dimiliki. Besar, mahal dan kompleks adalah sebab utama kesukaran tersebut. Pun begitu, kini ia seolah sebuah organ baru yang lekat pada anatomi manusia. Ianya sebuah keperluan dan bukan lagi kehendak. Begitu juga internet, ia bukan lagi “alam maya” yang berasingan seperti yang dikatakan suatu masa dahulu, kini ia menjadi sebuah lanjutan kepada realiti manusia metamodern. Menurut Sontag, sejak kamera dicipta boleh dikatakan semua benda telah direpresentasikan dalam bentuk foto—lebih kurang begitulah katanya. Maksudnya, foto dan kamera bukan lagi suatu objek yang diselubung alienasi. Ia tidak lagi pelik dan mahal.  Hal ini, saya kira, membawa timbul semula masalah mirip zaman pra-ciptaan kamera. Jika suatu ketika dahulu kita tidak tahu mengapresiasi mata, kini kita tidak tahu mengapresiasi kamera.

Jika dahulu kamera cuma diguna pakai oleh para elit yang mampu dan sejarawan untuk mendokumentasikan suatu momen bersejarah, kini ia boleh sahaja diguna pakai oleh kelas bawahan dan bukan sejarawan. Ketikan kamera yang suatu masa dahulu ditala kearah subjek-subjek yang dikira penting kini boleh sahaja memerangkap imej-imej yang lebih remeh persis sarapan pagi dan visual-visual melucukan. Maksud saya disini bukanlah untuk mengomel cara sebenar penggunaan kamera, kerana cara yang sebenar dan yang satu untuk menggunakannya tidak pernah wujud. Perkara yang ingin ditegaskan disini ialah betapa pantasnya gerak ombak zeitgeist membawa alih kita dalam kemodenan.  Kamera yang dahulu diselimut pujaan dengan kebolehannya untuk menghentikan waktu, kini dikira sebagai suatu macam hak kemanusiaan setanding dengan makan, berus gigi dan segala apa perbuatan banal seharian. Untuk itu, kamera, seperti berus gigi, telah hilang daya tariknya dan dipandang cuma sepintas lalu. Atau lebih cocok lagi untuk dikatakan, kita sudah tidak tahu bagaimana untuk menerbitkan gejolak rasa apresiasi terhadapnya. Walau harga sebiji kamera di pasaran secara konsisten mendaki naik, penghargaan kita terhadap sebiji kamera secara konsisten menggelungsur turun.