Bercakap dalam konteks pengarahan, pada awal filem Heaven On Earth (2008), ia membawa rasa rengsa filem-filem realisme Satyajit Ray, pun begitu sebuah babak pada pertengahan filem ini merubah faham penonton terhadapnya kerana ia memperlihatkan pertembungan modeniti dengan elemen magis dan fantastikal seperti karya-karya Woody Allen. Sepintas lalu, penegasan sutradara Deepa Mehta, terhadap budaya dan kepercayaan Punjabi dapat dicerna dan dirasakan. Filem ini membawa rupa watak-watak yang tidak asing pada penonton, namun ia memaparkan situasi yang mencadangkan keterasingan dan alienasi seorang pemudi dari Punjab yang terpaksa berpindah ke Kanada atas gesaan perkahwinan. Ini tidak biasa. Seorang wanita Punjab yang punya segala apa idea di dalam kepalanya tentang memulakan kehidupan baru di Kanada, dirubah dengan gesaan kewangan, obligasi dan patriaki keluarga barunya yang cukup konservatif dan ortodoks. Pertembungan urbanisasi dan mitos dalam filem ini mengorak naratif filem dengan cara yang begitu seimbang. Ular sebagai haiwan sakral dalam mitos Hindu diguna pakai oleh Deepa Mehta sebagai sebuah simbol dan senjata teguh bagi tujuan kritikan—antara sebab beliau diserang fundamentalis Hinduisme di India. Filem ini mengenengahkan perihal penderaan domestik yang tercetus dari phallocentrism melampau seorang suami yang sekaligus tertekan dibawah tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki, adik dan suami. Filem ini, menggunakan konflik familial sebagai lapis luar, pun begitu sebenarnya merupakan sebuah dokumentasi fiksyenal tentang realiti seharian hidup imigran di Kanada. Mitos Sheesh Naag dalam Hinduisme diguna pakai oleh Mehta dalam membantu diegesis filem ini, ia menyerang isu patriarki dalam konteks kontemporari menjadikan filem ini sensitif sekaligus kaya dengan pendirian Asia.