Metropolis (1927) merupakan sebuah karya agung sutradara Fritz Lang yang tidak asing lagi dengan gerakan “German Expressionism”. Ianya sebuah prototaip buat gerakan tersebut. Tujuan penulisan ini bukan lagi untuk mengangkat penceritaan dan ideologinya yang sudah cukup diagungkan oleh kritikus dalam sejarah sinema dunia. Fokus utama penulisan ini adalah bagi tujuan apresiasi ke atas satu lagi aspek yang membuatkan filem ini sentiasa segar di benak pencinta filem, yakni originaliti atau keaslian dunia ciptaan Fritz Lang, Metropolis. Seni bina Metropolis telah memberi inspirasi kepada rekaan bandar fiksyenal dalam pelbagai filem arus perdana selepasnya, dan antara filem yang paling jelas telah mengambil Metropolis sebagai konsep adalah bandar Gotham dalam filem Batman & Robin (1997) dan bandar Los Angeles 2019 di dalam filem Blade Runner (1982). Struktur bangunan Metropolis yang disusun dalam lapisan vertikal seakan-akan lukisan Michael Kerbow ini amat surrealistik, untuk itu ia menjadi suatu faktor yang menjadikan visual filem Metropolis mudah diingati.

Struktur bangunan yang bertindih di dalam Metropolis, pada saya, mengukuhkan lagi penceritaan filem ini kerana ia boleh dilihat sebagai exaggeration terhadap kepesatan kapitalisme di dalam masyarakat Metropolis. Selari dengan ideologi filem yakni peperangan kelas atau hierarki, rekaan bandar Metropolis dapat dibandingkan dengan koloni semut: pembahagian antara kelas sangat izhar, konsep ini pada saya, amat menarik sekaligus mengharukan. Bayang-bayangan yang jelas dan sudut kamera yang dramatik mempercantikkan lagi visual filem, bahkan ia membawa suatu macam rasa teatrikal. Memandangkan Metropolis adalah sebuah silent film, aset filem ini terletak pada bandarnya sendiri. Walau tampak surrealistik, ia cocok dengan keseluruhan diegesis filem. Rekaan set Metropolis yang begitu kompleks memaparkan visi artistik pengarah Fritz Lang, ia membuatkan karya ini tidak lekang dari memori spektator, sekaligus memberi impak besar kepada seni bina di dalam sinema dunia.